KEPENTINGAN
SYARIAH DALAM KEHIDUPAN MANUSIA
- PENGENALAN
Perkataan syariah mempunyai pelbagai makna di dalam
bahasa Arab. Antaranya Syariah dari segi bahasa bererti jalan yang lurus,
tempat keluar sesuatu dan jalan ke tempat air minum.Kaitan perkataan syariah dari segi bahasa menunjukkan kepada kita bahawa
kewujudan air adalah penghubung kepada penerusan hayat manusia. Begitu juga
jalan yang lurus adalah sesuatu yang membawa manusia ke arah kebaikan.
Syariah juga dikenali sebagai al-Din dan al- Millah.
Kalimah syariah lazimnya digandingkan dengan perkataan islam atau muhamad (
Ar-Razi, Mukhtâr ash-Shihah).
Manakala,
pengertian dari segi istilah pula ialah apa yang disyariatkan oleh Allah S.W.T
kepada hambanya pada perkara agama iaitu daripada hukum-hakam . Antaranya
wajib,sunat, harus, makruh, dan haram samada ianya diambil dari Al-Quran
ataupun Sunnah Nabi melalui kata-katanya ataupun perbuatannya ataupun Iqrarnya
(persetujuannya). Hukum-hakam tersebut dinamakan sebagai hukum syariah dari
sudut kelurusan dan kejelasannya,tidak bersimpang-siur dan tidak mempunyai sebarang
kesamaran yang diragukan (Imam al-Qurthubi, Tafsîr al-Qurthubi).
Syariah
merupakan ajaran yang disampaikan oleh Nabi s.a.w. Muhammad daripada Allah
s.w.t. ia berkaitan dengan pembaikan
akidah untuk membebaskan akal manusia daripada cengkaman keberhalaan dan
khurafat, pembaikan akhlak untuk membebaskan manusia daripada pengaruh dan
penyelewengan hawa nafsu serta memperbaiki masyarakat untuk membebaskan manusia
daripada kezaliman, kacau bilau dan penindasan.
Tujuan
utama diturunkan syariah Islam adalah untuk menjaga kebaikan umat manusia.
Selain itu juga adalah untuk menegakkan keadilan di antara manusia, serta
menyelamatkan mereka dari hal-hal yang bersifat kekejaman dan kerosakan.
- KEPENTINGAN
SYARIAH DALAM KEHIDUPAN MANUSIA
Syariat Islam adalah
hukum dan aturan Islam yang mengatur seluruh sendi kehidupan umat manusia.
Syariat Islam merupakan panduan sempurna
bagi seluruh permasalahan hidup manusia dan kehidupan dunia ini. Firman Allah
s.w.t yang bermaksud:
Pada
keseluruhannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad s.a.w dan utuskan engkau)
menjalankan satu jalan yang cukup lengkap dari hukum-hukum agama; Maka turutlah
akan jalan itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak
mengetahui (perkara yang benar) (Al-Jathiah: 18).
Menurut
ar-Raysuniyy (1995), secara mudahnya huraian-huraian Ibn 'Ashur dan al-Fasi ini
boleh diringkaskan sebagai "objektif yang ditentukan oleh syariat supaya
dicapai bagi kepentingan manusia". Terdapat empat perkara yang berkenaan
iaitu:-
2.1)
MEMELIHARA
KESUCIAN DAN AGAMA ISLAM
Pada zaman kegemilangan Tamadun Islam dahulu
sahabat-sahabat sanggup mengorbankan harta mahupun nyawa demi memelihara agama
Islam ini. Berkat pengorbanan pahlawan-pahlawan Islam yang lampaulah kita hari
ini dapat mengenali dan menjadi penganut Islam tanpa melalui penat lelah
perjuangan pejuang-pejuang Islam terdahulu.
Firman
Allah yang bermaksud,
Maka
apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepadaNyalah
menyerah diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka hati
mahupun terpaksa dan hanya kepadaNyalah mereka dikembalikan (al-Imran, ayat 83)
Hanya
agama Allah yang mampu membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Perbuatan
syirik kepada Allah adalah suatu kekejian yang boleh merosakkan aqidah.
Firman
Allah s.w.t yang bermaksud,
Barangsiapa
mencari agama selain Islam, tidak akan diterima daripadanya dan dia di akhirat
termasuk orang yang rugi (al-Imran : ayat 85). Oleh itu marilah sama-sama kita
doakan semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang setimpal kepada mereka.
Menjaga
agama merupakan perkara paling utama bagi setiap individu. Justeru, syariah
Islam menetapkan hukuman bunuh terhadap orang murtad serta kewajipan berjihad
memerangi kafir harbi yang menceroboh. Hal ini sekali gus dapat mempertahankan
agama, maruah diri, menyebarkan dakwah yang maha suci untuk menjaga hak kebebasan.
2.2)
MENJAMIN USAHA
PEMILIKAN DAN PENGUASAAN HARTA
Memiliki
kekayaan merupakan naluri semula jadi manusia.Maka Allah s.w.t meraikannya dan
tidak menghalang. firman Allah S.W.T. :
Maka
apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang, bertebaranlah di muka bumi dan
carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu
beruntung (Al-Jumu'ah, ayat 10)
Allah
SWT telah mengingatkan manusia agar berusaha mencari rezeki yang halal kerana
rezeki yang halal itu mengandungi keberkatan. ianya mestilah berlandaskan
kepada ajaran Islam.
Syariah
Islam mengharamkan segala kegiatan menceroboh hak orang lain, seperti mencuri
dan merompak. Syariah menetapkan hukum, mana-mana pencuri yang sabit
kesalahannya dikenakan hukuman potong tangan. Hal itu dijelaskan menerusi
firman Allah yang bermaksud:
Dan
orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri, maka (hukumannya)
potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah
usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah (Al-Mai'dah, ayat
38)
Selanjutnya,
penyamun dan perompak pula dikenakan hukuman lebih dahsyat serta lebih berat.
Hal itu kerana jenayah yang dilakukan lebih besar dan lebih membahaya seperti
secara terang-terangan, kekerasan, mengugut, menggunakan senjata.
firman
Allah yang bermaksud:
Bahawasanya
balasan orang-orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya serta melakukan bencana
kerosakan di muka bumi, ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidakmeram pas) atau dipotong
tangan dan kaki mereka dengan
berselang- seli (kalau mereka merampas sahaja) atau dibuang negeri
(kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam) (Al-Maidah, ayat 33)
2.3)
MENJAMIN
KEMURNIAN FIKIRAN DAN KEWARASAN AKAL
Akal
adalah anugerah Allah s.w.t yang paling berharga kepada manusia.. Akal jugalah
ciri utama yang menentukan hakikat kemanusiaan. Dengan ini, Islam telah
melarang umatnya untuk melakukan perkara-perkara yang merosakkan akan fikiran.
Bagi
memelihara kesempurnaan akal, Allah s.w.t telah mengharamkan segala sesuatu
yang dapat merosakkan akal. Sebagai contoh Islam melarang umatnya untuk minum
minuman yang memabukkan kerana ia mengakibatkan akal hilang pertimbangan.
Maksud firman Allah,
Hai
orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, berkorban untuk
berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji, termasuk perbuatan
syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu memperolehi
keberuntungan (Al-Maidah, ayat
90).
Justeru,
menurut pendapat Imam Syafie, meminum arak yang sabit kesalahannya dikenakan
hukuman 40 sebatan. Hal itu berdasarkan hadith riwayat 'Ali Ibn Abu Talib:
Rasulullah menyebat (terhadap kesalahan minum arak) 40 sebatan dan Abu Bakar
juga berbuat begitu.Umat Islam juga dilarang melihat filem-filem dan gambar
yang boleh merosakkan akal seperti gambar-gambar pornographi, video-video yang
merangsang syahwat dan sebagainya. keruntuhan akhlak muda-mudi yang terpapar
kepada kita pada hari ini adalah disebabkan umat Islam tidak memelihara perkara
yang diwajibkan oleh Islam ini.
2.4)
MENJAMIN
KEHORMATAN, MARUAH DIRI DAN KETURUNAN
Firman
Allah s.w.t yang bermaksud,
Dan
janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina adalah suatu perbuatan yang
keji dan suatu jalan yang buruk (Al-Isra', ayat 31)
Keingkaran
dan ketidakpatuhan manusia kepada syara' telah mengakibatkan perlakuan seks
bebas dan merosakkan kehormatan dan keturunan. Demi memelihara tamadun manusia,
akhlak dan keturunannya, al-Quran telah menjelaskan aspek penghukuman yang
tegas terhadap jenayah zina sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud,
Perempuan
yang berzina dan lelaki yang berzina maka deralah tiap-tiap seorang dari
keduanya seratus kali dera, janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah
kamu untuk (menjalankan) agama Allah jika kamu beriman kepada Allah dan hari
akhirat dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan
dari orang beriman (An-Nur, ayat 2).
3.
ISU SEMASA
BERPUNCA PENGABAIAN TERHADAP SYARIAH
3.1)
MASALAH SOSIAL
Pengabaian
ini menyebabkan lahirnya gejala-gejala sosial yang tidak sihat dan mengundang
pelbagai krisis misalnya berlakunya
peningkatan kadar jenayah seperti rogol, zina, sumbang mahram, penderaan,
bunuh, penyalahgunaan dadah, rasuah dan seumpamanya.Kegiatan maksiat dan salah
laku ini secara jelas menunjukkan betapa masyarakat Islam kini sudah tersasar
jauh dari asas-asas Islam yang murni. Mereka meninggalkan pelaksanaan tuntutan
syariah untuk mencapai kehidupan moden. Meninggalkan amar makruf nahi mungkar
atas alasan kebebasan individu
Hal
ini jelas di kalangan pelajar terutama pelajar sekolah menengah atau matrikulasi,
di mana mereka keliru dan tidak memahami peranan diri serta tanggungjawab
mereka dalam memenuhi harapan keluarga dan masyarakat.Pendapat ini disokong
oleh Laporan Pembangunan dan Permasalahan Sosial Selangor yang menjelaskan bahawa umur antara 16 hingga
18 tahun merupakan satu tahap kritikal dalam hidup manusia di mana berlaku
tempoh peralihan daripada alam kanak-kanak kepada alam dewasa. Pada peringkat
ini seseorang itu mula bertindak balas kepada tuntutan emosi untuk mencari gaya
penampilan tersendiri (Vani Appalasami , 2001).
Di samping itu terdapat banyak lagi punca
lain yang menyebabkan pelajar terjerumus ke dalam penzinaan. Hasil kajian
Azizah Lebai Nordin menunjukkan terdapat banyak
punca kepada masalah disiplin pelajar. Antaranya ialah ibu bapa, sekolah
dan rakan sebaya. Beliau menyokong pendapatnya dengan laporan kabinet 1979 yang
menyebut bahawa disiplin seorang murid bukan ditentukan oleh sekolah sahaja.
Alam sekitar dan masyarakat sekeliling juga mempunyai pengaruh terhadap disiplin
seseorang murid.
3.2)
PENGABAIAN DALAM
EKONOMI
Pengabaian
dalam ekonomi juga dapat dikesan apabila ada kalangan umat Islam yang
menghalalkan riba untuk meningkatkan prestasi ekonomi. Ada yang mewujudkan
pelacuran berlesen untuk membenteras pelacuran yang haram. Itu adalah sedikit
contoh daripada banyak contoh yang berlaku dalam masyarakat Islam apabila
kegiatan ekonomi dijalankan tidak berpandukan syariah. , terdapat satu hadis
Nabi SAW yang bermaksud:
“
Jauhilah Tujuh Dosa Besar iaitu Syirik, Sihir, Membunuh Tanpa Hak, makan riba,
Makan Harta Anak Yatim, Lari Dari Peperangan dan Menuduh Perempuan Baik
Melakukan zina (Tanpa Saksi Adil)”
RiwayatAl
Bukhari & Muslim
Jelas
dari hadis diatas bahawa perlakuan riba adalah tergolong dalam salah satu tujuh
dosa besar. Hari ini kita melihat di negara kita secara keseluruhannya ramai
yang telah terjebak dalam kancah tersebut sehingga bertemu kepayahan untuk
keluar dari permasalahan.
Kita
sedia maklum bahawa penduduk Malaysia diwakili oleh majoriti umat Islam sekitar
lebih kurang 60% dari jumlah keseluruhan. Dari sudut ini sahaja dapat di
perakui perlu adanya keperluan menyediakan kemudahan berkaitan Muamalat Islam
secara bersungguh dan bukan hanya sekadar ambil mudah. Ini kerana ia menjadi
kewajipan kepada pemimpin dalam memenuhi tuntutan umat dalam mendapatkan
kemudahan dan ilmu ekonomi yg Islamik untuk mengelakkan isu besar dan utama
iaitu permasalahan riba.
Hadis
Nabi SAW:
“Dilaknati
Rasullulah SAW pemakan Riba, pemberi Riba, saksinya dan penulisnya” Riwayat Abu Daud dan At Tarmidzi.
3.3)
PENGABAIAN DALAM
IBADAH
Ramai dari kalangan orang Islam
yang tidak mematuhi perintah mengerjakan ibadah wajib seperti solat, puasa,
zakat dan haji. Mereka seolah-olah tidak takut siksaan Allah akibat dari
perlanggaran tersebut. Janji azab Allah kepada mereka yang tidak mengerjakan
solat dengan dimasukkan ke dalam neraka Saqar tidak sedikit pun membekas di
hati.
Firman Allah S.W.T. (setelah
melihat orang-orang Yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah Yang
menyebabkan kamu masuk ke Dalam (neraka) Saqar?". orang-orang Yang
bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk Dalam kumpulan orang-orang
Yang mengerjakan sembahyang. (Surah Al Muddathir, ayat 42 & 43)
Pengabaian ini menyebabkan berlaku perkara
buruk kepada individu, masyarakat dan negara. Hati mereka resah dan tidak
tenteram. Kehidupan berkeluarga tidak harmoni dan bahagia dan negara juga
ditimpa kesusahan, kemelaratan dan penderitaan.
Manakala,
dengan pengabaian ibadah-ibadah umum dan sunat ini, muslim akan menjadi lebih
pasif dan tidak produktif. Oleh hal yang demikian, ianya dapat melahirkan umat
Islam yang lemah, tidak mempunyai daya saing untuk mempertingkatkan hidup dan
ketahanan mental yang sangat rendah. Selain jasmani, rohani manusia juga perlu
diisi dengan makanannya, iaitu ibadah-ibadah sunat supaya tidak dapat
merosakkan kredibiliti dan jati diri muslim. Dengan pengabaian ini akidah akan
terjejas dan manusia secara automatiknya akan terjebak dalam masalah sosial
yang sangat serius.
3.4)
PENGABAIAN DALAM
POLITIK
Di
kalangan ahli politik, jenayah yang sering diperkatakan adalah politik wang.
Untuk mendapat jawatan dan kuasa dengan cara yang tidak bermoral ada yang
sanggup menghabiskan wang untuk memancing undi dan sokongan. Politik wang
dikecam oleh semua pihak. Seolah-olah semua pihak membencinya tetapi anehnya ia
terus berlaku. Apa yang kita perhatikan, ada kalangan mereka yang mengecam
politik wang tetapi turut sama melakukannya. Sebenarnya sudah cukup bagi orang
yang beriman untuk tidak membudayakan politik wang berdasarkan hadith nabi
s.a.w. yang diberitahu oleh Thauban maksudnya;
“Rasulullah
s.a.w. melaknati pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantaranya”. (Riwayat Ahmad dan al-Hakim)
Wang,
harta dan kuasa yang sebanyak mana pun tidak berguna lagi. Betapa ramai orang
yang kaya dan berpangkat tetapi hidupnya
resah, rezekinya cukup tetapi masih tidak cukup. Inilah impak laknat yang
maknawi sifatnya tetapi sangat menghancurkan kehidupan. Bagaikan mengalami
siksaan neraka dunia sebelum neraka akhirat. Sesungguhnya kebinasaan dan
kerosakan yang berlaku ini adalah akibat dari perbuatan manusia sendiri.
4.
KAEDAH MENANGANI
PERMASALAHAN
Kehidupan di dunia kini
semakin mencabar di mana umat Islam semakin lemah dan tidak berdaya serta
semakin rosak pegangan agamanya. Ini adalah kerana umat Islam masa kini semakin
jauh dari agama Islam. Dengan ini diterangkan cara atau kaedah menangani
permasalahan yang mudah difahami untuk
mengembalikan umat Islam yang telah terpesong daripada ajaran Islam yang
sebenar.
4.1)
MEMBERI PENDIDIKAN
YANG SEBENAR
Masalah
sosial seperti perjudian, pembuangan bayi, pelacuran, ketagihan dadah, arak dan
perzinaan yang banyak berlaku hari ini adalah disebabkan kelekaan mengamalkan
ajaran-ajaran atau nilai-nilai murni yang dituntut oleh agama. Di sinilah
letaknya tanggungjawab orang berilmu dalam kalangan pemimpin ataupun ketua
agama untuk ke hadapan mendampingi 'golongan yang jahil' ini agar memahami
ajaran sebenar agama yang menyuruh kita mengelakkan prasangka, pergaduhan dan
pembunuhan.
Agama
Islam melarang umatnya melakukan kerosakan dan kejahatan. Dalam Al-Quran
diperjelaskan larangan-larangan yang ditegah sekeras-kerasnya dan apabila
dilakukan, ia membawa kepada hukuman Hadd dan Qisas. Contohnya, umat Islam
dilarang mencuri, merompak, berzina, memfitnah, meminum arak, murtad dan
membunuh.
Pendidikan agama merupakan asas yang paling
penting bagi membentuk jatidiri muslim yang sebenar. Kefahaman agama yang
sebenar dan keyakinan terhadap Allah akan menanamkan dalam diri insan sifat
taqwa kepada Allah. Dan taqwalah yang akan membezakan antara setiap muslim.
4.2)
SIKAP PRIHATIN
MASYARAKAT DAN KERAJAAN
Masyarakat
Islam yang baik adalah masyarakat yang akan memastikan setiap anggota
masyarakatnya tidak terlibat dengan gejala keruntuhan moral. Ini sesuai dengan
sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud “Barangsiapa antara kamu yang melihat
kemungkaran hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya, sekiranya ia tidak mampu
cegahlah dengan lisannya dan sekiranya masih tidak mampu maka cegahlah di dalam
hatinya ..dan itu adalah selemah-lemah iman ”. Hadith Muslim
Kementerian
juga mengambil langkah-langkah menangani permasalahan tersebut seperti Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi dan Kepenggunaan ditugaskan untuk
membasmi masalah lambakan vcd tidak bertapis dan lucah.Maka ini adalah
tanggungjawab kerajaan.
4.3)
TANGGUNGJAWAB
IBU BAPA
Ibubapa
perlulah memberikan perhatian yang sewajarnya kepada anak mereka. Walau sibuk
dengan tugasan harian tanggungjawab mendidik anak tidak boleh diabaikan sesuai
dengan apa yang telah digariskan oleh Islam. Peranan yang dimainkan oleh ibu
bapa penting bagi menentukan keberkesanan sesebuah keluarga. Ini jelas
sebagaimana sabda rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
“
Anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang akan
menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
Hadith
Bukhari.
Mahatma
Gandhi pernah berkata “ tiada sekolah setanding rumahtangga yang bahagia dan
tiada guru yang setanding dengan ibu bapa yang tulus ikhlas dan berhati mulia”.
Pendapat di atas jelas membuktikan betapa ibu bapa berperanan penting dalam
membentuk sebarang jenis perhubungan tingkah laku dan sahsiah anak.
Saedah
Ghani (1992) menjelaskan corak peraturan dan norma keluarga dalam sebuah
keluarga boleh menjamin sifat harmoni dan hormat dikalangan ahli-ahli keluarga.
Seharusnya, dalam sebuah keluarga yang berfungsi, norma dan peraturan yang ada
perlulah jelas, positif , adil dan tekal. Sifat hormat dan perasaan kemesraan
sukar wujud apabila ahli keluarga kurang jelas mengenai disiplin dan tingkah
laku yang diterima. Perkara ini sering membawa kepada kepincangan keluarga,
rumahtangga serta berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti penderaan
seksual dan fizikal mahupun kenakalan remaja (Chopyak,D. & Abdullah,
R.1986).
4.4)
MENGAWAL MEDIA
MASSA
Media
massa merupakan satu mekanisme yang mempunyai pengaruh yang amat besar dan
berkesan di dalam pembentukan keperibadian manusia. Ia merupakan agen
sosialisasi dan memainkan peranan penting di dalam menanam dan menggalakkan
amalan-amalan berakhlak di dalam masyarakat. Media massa mampu mencorakkan hati
budi, mentaliti dan sahsiah umat khasnya yang beroperasi 24 jam. Media massa
tersebut perlu bebas dari cengkaman faham sekularisme, budaya komersial yang
melampau, faham kebendaan dan dorongan untuk hidup secara mewah dan
berpoya-poya. Media massa hendaklah mempunyai asas falsafah dan dasar-dasar
komunikasi yang selaras dengan nilai-nilai akhlak Islam. Para petugas media
massa hendaklah meningkatkan rasa tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk
memihak dan menegakkan nilai-nilai luhur seperti kebenaran, kejujuran dan
sebagainya.
Pelbagai
alat sebaran yang muncul hari ini seperti televisyen, suratkhabar, majalah
boleh menjadi agen yang paling berpengaruh ke arah keruntuhan akhlak. Namun ia
juga boleh menjadi agen dakwah yang paling berkesan. Oleh itu, pengawalan yang
sewajarnya perlulah ke arah memastikan akhlak remaja dapat dikawal.
5.
KESIMPULAN
Syariah
Islam adalah satu peraturan yang diturunkan oleh Tuhan kepada seluruh umat
manusia sebagai panduan mereka dalam menempuh kehidupan. Keperluan terhadap
satu panduan yang serba lengkap adalah satu kemestian kerana manusia adalah
makhluk yang dicipta serba kekurangan.
Di
antara unsur-unsur Syariah Islam serta ketinggian prinsipnya ialah keharmonian
dengan kenyataan dan kesesuaiannya dengan kehidupan sepanjang zaman. Oleh itu,
tidak munasabah pada akal dan syarak akan terjadinya pertentangan antara
hukum-hukum Islam dengan maslahat manusia atau terjadinya pertembungan antara
nas syariat dengan kenyataan hidup. Allah s.w.t. Maha Tinggi hikmahnya yang
telah memansukhkan syariat-syariat agama langit yang terdahulu dan Allah
datangkan Syariat yang baru yang menyesuaikan antara kepentingan individu
dengan kepentingan jemaah untuk mewujudkan kebajikan dan kebahagiaan bagi insan
secara keseluruhan serta menjamin kepimpinan umat dan keselamatan dunia
sehingga hari kiaamat.
Umat
yang hidup berdasarkan syariat akan mengimbangi segala tuntutan kehidupan
duniawi dan rohani dengan tidak melampaui batas-batas kewajaran. Umat sebegini
disifatkan oleh Allah sebagai 'ummatan wasatan' (umat yang berada di tengah)
yang membangunkan dirinya dengan segala kekuatan yang telah disediakan oleh
Allah, iaitu kekuatan jasmani, perekonomian, politik dan ketenteraan untuk
membela diri dan menentang penceroboh-penceroboh
di samping kekuatan kemasyarakatan, ilmu pengetahuan dan teknologi.
Gejala keruntuhan moral yang muncul hari
ini boleh membawa kepada pelbagai implikasi akhlak dan masalah lain. Demikian
juga, ia merupakan satu malapetaka besar yang menimpa masyarakat Islam yang
mana ia telah melumpuhkan sama sekali remaja yang sangat diperlukan oleh
Negara.Oleh itu mari kita bersama- sama membangunkan Islam dan berjuang.
RUJUKAN
Al Quran Al Karim dan
terjemahannya
Hadis Bukhari- Muhammad
Bin Ismail
Hadis Muslim- Muslim
Bin Hajjaj
Musnad Ahmad Bin Hambal
Mustadrak Hakim
Sunan Tirmizi Muhamad
Bin Isa At Tirmizi
Sunan Abu Daud Sulaiman
Bin Ash’as
Ar-Razi, Mukhtâr
ash-Shihah, p. 294.
Imam al-Qurthubi, Tafsîr
al-Qurthubi, juz XVI, p .163.
Al-Raysuniyy, Ahmad. (1995).
Nazariyyat al-Maqasid 'ind al-Shatibiyy. (Ed. 4). Riyad : al-Dar al-'Alamiyyah li al-Kitab al-'Arabiyy.
Vani Appalasami (2001),
op. cit., p. 10.
Ibid, p. 133.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz2MFaIES90
© Utusan Melayu (M) Bhd
Saedah Ghani (1992).
Gejala Sosial dalam institusi kekeluargaan . Bengkel kaunseling ke 13. UKM.
Chopyak,D. &
Abdullah, R. (1986). The psychological problems of battered women and their families.
Implications for the helping profession. Jurnal PERKAMA 2, 59-79.
Qutb, Sayyid. T.thn. Ma
'alimfi al-Tariq. Kuwait: t.pt.
Terima kasih bang, banyak membantu saya :)
ReplyDeleteterima kasih tuan kerana berkongsi ilmu dengan rujukan yang muktabar
ReplyDelete