KEPENTINGAN SYARIAH DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

KEPENTINGAN SYARIAH DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

  1. PENGENALAN
Perkataan syariah mempunyai pelbagai makna di dalam bahasa Arab. Antaranya Syariah dari segi bahasa bererti jalan yang lurus, tempat keluar sesuatu dan jalan ke tempat air minum.Kaitan perkataan syariah dari segi bahasa menunjukkan kepada kita bahawa kewujudan air adalah penghubung kepada penerusan hayat manusia. Begitu juga jalan yang lurus adalah sesuatu yang membawa manusia ke arah kebaikan. Syariah juga dikenali sebagai al-Din dan al- Millah. Kalimah syariah lazimnya digandingkan dengan perkataan islam atau muhamad ( Ar-Razi, Mukhtâr ash-Shihah).
Manakala, pengertian dari segi istilah pula ialah apa yang disyariatkan oleh Allah S.W.T kepada hambanya pada perkara agama iaitu daripada hukum-hakam . Antaranya wajib,sunat, harus, makruh, dan haram samada ianya diambil dari Al-Quran ataupun Sunnah Nabi melalui kata-katanya ataupun perbuatannya ataupun Iqrarnya (persetujuannya). Hukum-hakam tersebut dinamakan sebagai hukum syariah dari sudut kelurusan dan kejelasannya,tidak bersimpang-siur dan tidak mempunyai sebarang kesamaran yang diragukan (Imam al-Qurthubi, Tafsîr al-Qurthubi).
Syariah merupakan ajaran yang disampaikan oleh Nabi s.a.w. Muhammad daripada Allah s.w.t.  ia berkaitan dengan pembaikan akidah untuk membebaskan akal manusia daripada cengkaman keberhalaan dan khurafat, pembaikan akhlak untuk membebaskan manusia daripada pengaruh dan penyelewengan hawa nafsu serta memperbaiki masyarakat untuk membebaskan manusia daripada kezaliman, kacau bilau dan penindasan.
Tujuan utama diturunkan syariah Islam adalah untuk menjaga kebaikan umat manusia. Selain itu juga adalah untuk menegakkan keadilan di antara manusia, serta menyelamatkan mereka dari hal-hal yang bersifat kekejaman dan kerosakan.



  1. KEPENTINGAN SYARIAH DALAM KEHIDUPAN MANUSIA
Syariat Islam adalah hukum dan aturan Islam yang mengatur seluruh sendi kehidupan umat manusia. Syariat Islam merupakan panduan  sempurna bagi seluruh permasalahan hidup manusia dan kehidupan dunia ini. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
Pada keseluruhannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad s.a.w dan utuskan engkau) menjalankan satu jalan yang cukup lengkap dari hukum-hukum agama; Maka turutlah akan jalan itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar) (Al-Jathiah: 18).
Menurut ar-Raysuniyy (1995), secara mudahnya huraian-huraian Ibn 'Ashur dan al-Fasi ini boleh diringkaskan sebagai "objektif yang ditentukan oleh syariat supaya dicapai bagi kepentingan manusia". Terdapat empat perkara yang berkenaan iaitu:-

2.1)            MEMELIHARA KESUCIAN DAN AGAMA ISLAM
 Pada zaman kegemilangan Tamadun Islam dahulu sahabat-sahabat sanggup mengorbankan harta mahupun nyawa demi memelihara agama Islam ini. Berkat pengorbanan pahlawan-pahlawan Islam yang lampaulah kita hari ini dapat mengenali dan menjadi penganut Islam tanpa melalui penat lelah perjuangan pejuang-pejuang Islam terdahulu.
Firman Allah yang bermaksud,
Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepadaNyalah menyerah diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka hati mahupun terpaksa dan hanya kepadaNyalah mereka dikembalikan (al-Imran, ayat 83)
Hanya agama Allah yang mampu membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Perbuatan syirik kepada Allah adalah suatu kekejian yang boleh merosakkan aqidah.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud,
Barangsiapa mencari agama selain Islam, tidak akan diterima daripadanya dan dia di akhirat termasuk orang yang rugi (al-Imran : ayat 85). Oleh itu marilah sama-sama kita doakan semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang setimpal kepada mereka.
Menjaga agama merupakan perkara paling utama bagi setiap individu. Justeru, syariah Islam menetapkan hukuman bunuh terhadap orang murtad serta kewajipan berjihad memerangi kafir harbi yang menceroboh. Hal ini sekali gus dapat mempertahankan agama, maruah diri, menyebarkan dakwah yang maha suci untuk menjaga hak kebebasan.

2.2)            MENJAMIN USAHA PEMILIKAN DAN PENGUASAAN HARTA
Memiliki kekayaan merupakan naluri semula jadi manusia.Maka Allah s.w.t meraikannya dan tidak menghalang. firman Allah S.W.T. :
Maka apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang, bertebaranlah di muka bumi dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung           (Al-Jumu'ah, ayat 10)
Allah SWT telah mengingatkan manusia agar berusaha mencari rezeki yang halal kerana rezeki yang halal itu mengandungi keberkatan. ianya mestilah berlandaskan kepada ajaran Islam.
Syariah Islam mengharamkan segala kegiatan menceroboh hak orang lain, seperti mencuri dan merompak. Syariah menetapkan hukum, mana-mana pencuri yang sabit kesalahannya dikenakan hukuman potong tangan. Hal itu dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud:
Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri, maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah (Al-Mai'dah, ayat 38)
Selanjutnya, penyamun dan perompak pula dikenakan hukuman lebih dahsyat serta lebih berat. Hal itu kerana jenayah yang dilakukan lebih besar dan lebih membahaya seperti secara terang-terangan, kekerasan, mengugut, menggunakan senjata.
firman Allah yang bermaksud:
Bahawasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi, ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh  sahaja dengan tidakmeram pas) atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan     berselang- seli (kalau mereka merampas sahaja) atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam) (Al-Maidah, ayat 33)

2.3)            MENJAMIN KEMURNIAN FIKIRAN DAN KEWARASAN AKAL
Akal adalah anugerah Allah s.w.t yang paling berharga kepada manusia.. Akal jugalah ciri utama yang menentukan hakikat kemanusiaan. Dengan ini, Islam telah melarang umatnya untuk melakukan perkara-perkara yang merosakkan akan fikiran.
Bagi memelihara kesempurnaan akal, Allah s.w.t telah mengharamkan segala sesuatu yang dapat merosakkan akal. Sebagai contoh Islam melarang umatnya untuk minum minuman yang memabukkan kerana ia mengakibatkan akal hilang pertimbangan. Maksud firman Allah,
Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji, termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu memperolehi keberuntungan           (Al-Maidah, ayat 90).
Justeru, menurut pendapat Imam Syafie, meminum arak yang sabit kesalahannya dikenakan hukuman 40 sebatan. Hal itu berdasarkan hadith riwayat 'Ali Ibn Abu Talib: Rasulullah menyebat (terhadap kesalahan minum arak) 40 sebatan dan Abu Bakar juga berbuat begitu.Umat Islam juga dilarang melihat filem-filem dan gambar yang boleh merosakkan akal seperti gambar-gambar pornographi, video-video yang merangsang syahwat dan sebagainya. keruntuhan akhlak muda-mudi yang terpapar kepada kita pada hari ini adalah disebabkan umat Islam tidak memelihara perkara yang diwajibkan oleh Islam ini.

2.4)            MENJAMIN KEHORMATAN, MARUAH DIRI DAN KETURUNAN
Firman Allah s.w.t yang bermaksud,
Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk (Al-Isra', ayat 31)
Keingkaran dan ketidakpatuhan manusia kepada syara' telah mengakibatkan perlakuan seks bebas dan merosakkan kehormatan dan keturunan. Demi memelihara tamadun manusia, akhlak dan keturunannya, al-Quran telah menjelaskan aspek penghukuman yang tegas terhadap jenayah zina sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud,
Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera, janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang beriman (An-Nur, ayat 2).


3.       ISU SEMASA BERPUNCA PENGABAIAN TERHADAP SYARIAH

3.1)            MASALAH  SOSIAL
Pengabaian ini menyebabkan lahirnya gejala-gejala sosial yang tidak sihat dan mengundang pelbagai krisis  misalnya berlakunya peningkatan kadar jenayah seperti rogol, zina, sumbang mahram, penderaan, bunuh, penyalahgunaan dadah, rasuah dan seumpamanya.Kegiatan maksiat dan salah laku ini secara jelas menunjukkan betapa masyarakat Islam kini sudah tersasar jauh dari asas-asas Islam yang murni. Mereka meninggalkan pelaksanaan tuntutan syariah untuk mencapai kehidupan moden. Meninggalkan amar makruf nahi mungkar atas alasan kebebasan individu
Hal ini jelas di kalangan pelajar terutama pelajar sekolah menengah atau matrikulasi, di mana mereka keliru dan tidak memahami peranan diri serta tanggungjawab mereka dalam memenuhi harapan keluarga dan masyarakat.Pendapat ini disokong oleh Laporan Pembangunan dan Permasalahan Sosial Selangor  yang menjelaskan bahawa umur antara 16 hingga 18 tahun merupakan satu tahap kritikal dalam hidup manusia di mana berlaku tempoh peralihan daripada alam kanak-kanak kepada alam dewasa. Pada peringkat ini seseorang itu mula bertindak balas kepada tuntutan emosi untuk mencari gaya penampilan tersendiri (Vani Appalasami , 2001).
      Di samping itu terdapat banyak lagi punca lain yang menyebabkan pelajar terjerumus ke dalam penzinaan. Hasil kajian Azizah Lebai Nordin menunjukkan terdapat banyak  punca kepada masalah disiplin pelajar. Antaranya ialah ibu bapa, sekolah dan rakan sebaya. Beliau menyokong pendapatnya dengan laporan kabinet 1979 yang menyebut bahawa disiplin seorang murid bukan ditentukan oleh sekolah sahaja. Alam sekitar dan masyarakat sekeliling juga mempunyai pengaruh terhadap disiplin seseorang murid.
     

3.2)            PENGABAIAN DALAM EKONOMI
Pengabaian dalam ekonomi juga dapat dikesan apabila ada kalangan umat Islam yang menghalalkan riba untuk meningkatkan prestasi ekonomi. Ada yang mewujudkan pelacuran berlesen untuk membenteras pelacuran yang haram. Itu adalah sedikit contoh daripada banyak contoh yang berlaku dalam masyarakat Islam apabila kegiatan ekonomi dijalankan tidak berpandukan syariah. , terdapat satu hadis Nabi SAW yang bermaksud:
“ Jauhilah Tujuh Dosa Besar iaitu Syirik, Sihir, Membunuh Tanpa Hak, makan riba, Makan Harta Anak Yatim, Lari Dari Peperangan dan Menuduh Perempuan Baik Melakukan zina (Tanpa Saksi Adil)”
RiwayatAl Bukhari & Muslim
Jelas dari hadis diatas bahawa perlakuan riba adalah tergolong dalam salah satu tujuh dosa besar. Hari ini kita melihat di negara kita secara keseluruhannya ramai yang telah terjebak dalam kancah tersebut sehingga bertemu kepayahan untuk keluar dari permasalahan.
Kita sedia maklum bahawa penduduk Malaysia diwakili oleh majoriti umat Islam sekitar lebih kurang 60% dari jumlah keseluruhan. Dari sudut ini sahaja dapat di perakui perlu adanya keperluan menyediakan kemudahan berkaitan Muamalat Islam secara bersungguh dan bukan hanya sekadar ambil mudah. Ini kerana ia menjadi kewajipan kepada pemimpin dalam memenuhi tuntutan umat dalam mendapatkan kemudahan dan ilmu ekonomi yg Islamik untuk mengelakkan isu besar dan utama iaitu permasalahan riba.
Hadis Nabi SAW:
“Dilaknati Rasullulah SAW pemakan Riba, pemberi Riba, saksinya dan penulisnya”                        Riwayat Abu Daud dan At Tarmidzi.

3.3)            PENGABAIAN DALAM IBADAH
Ramai dari kalangan orang Islam yang tidak mematuhi perintah mengerjakan ibadah wajib seperti solat, puasa, zakat dan haji. Mereka seolah-olah tidak takut siksaan Allah akibat dari perlanggaran tersebut. Janji azab Allah kepada mereka yang tidak mengerjakan solat dengan dimasukkan ke dalam neraka Saqar tidak sedikit pun membekas di hati.
Firman Allah S.W.T. (setelah melihat orang-orang Yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah Yang menyebabkan kamu masuk ke Dalam (neraka) Saqar?". orang-orang Yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk Dalam kumpulan orang-orang Yang mengerjakan sembahyang. (Surah Al Muddathir, ayat 42 & 43)

 Pengabaian ini menyebabkan berlaku perkara buruk kepada individu, masyarakat dan negara. Hati mereka resah dan tidak tenteram. Kehidupan berkeluarga tidak harmoni dan bahagia dan negara juga ditimpa kesusahan, kemelaratan dan penderitaan.          
Manakala, dengan pengabaian ibadah-ibadah umum dan sunat ini, muslim akan menjadi lebih pasif dan tidak produktif. Oleh hal yang demikian, ianya dapat melahirkan umat Islam yang lemah, tidak mempunyai daya saing untuk mempertingkatkan hidup dan ketahanan mental yang sangat rendah. Selain jasmani, rohani manusia juga perlu diisi dengan makanannya, iaitu ibadah-ibadah sunat supaya tidak dapat merosakkan kredibiliti dan jati diri muslim. Dengan pengabaian ini akidah akan terjejas dan manusia secara automatiknya akan terjebak dalam masalah sosial yang sangat serius.


3.4)            PENGABAIAN DALAM POLITIK
Di kalangan ahli politik, jenayah yang sering diperkatakan adalah politik wang. Untuk mendapat jawatan dan kuasa dengan cara yang tidak bermoral ada yang sanggup menghabiskan wang untuk memancing undi dan sokongan. Politik wang dikecam oleh semua pihak. Seolah-olah semua pihak membencinya tetapi anehnya ia terus berlaku. Apa yang kita perhatikan, ada kalangan mereka yang mengecam politik wang tetapi turut sama melakukannya. Sebenarnya sudah cukup bagi orang yang beriman untuk tidak membudayakan politik wang berdasarkan hadith nabi s.a.w. yang diberitahu oleh Thauban maksudnya;
“Rasulullah s.a.w. melaknati pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantaranya”.  (Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Wang, harta dan kuasa yang sebanyak mana pun tidak berguna lagi. Betapa ramai orang yang kaya dan berpangkat  tetapi hidupnya resah, rezekinya cukup tetapi masih tidak cukup. Inilah impak laknat yang maknawi sifatnya tetapi sangat menghancurkan kehidupan. Bagaikan mengalami siksaan neraka dunia sebelum neraka akhirat. Sesungguhnya kebinasaan dan kerosakan yang berlaku ini adalah akibat dari perbuatan manusia sendiri.







4.       KAEDAH MENANGANI PERMASALAHAN
Kehidupan di dunia kini semakin mencabar di mana umat Islam semakin lemah dan tidak berdaya serta semakin rosak pegangan agamanya. Ini adalah kerana umat Islam masa kini semakin jauh dari agama Islam. Dengan ini diterangkan cara atau kaedah menangani permasalahan yang  mudah difahami untuk mengembalikan umat Islam yang telah terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

4.1)            MEMBERI PENDIDIKAN YANG SEBENAR
Masalah sosial seperti perjudian, pembuangan bayi, pelacuran, ketagihan dadah, arak dan perzinaan yang banyak berlaku hari ini adalah disebabkan kelekaan mengamalkan ajaran-ajaran atau nilai-nilai murni yang dituntut oleh agama. Di sinilah letaknya tanggungjawab orang berilmu dalam kalangan pemimpin ataupun ketua agama untuk ke hadapan mendampingi 'golongan yang jahil' ini agar memahami ajaran sebenar agama yang menyuruh kita mengelakkan prasangka, pergaduhan dan pembunuhan.
Agama Islam melarang umatnya melakukan kerosakan dan kejahatan. Dalam Al-Quran diperjelaskan larangan-larangan yang ditegah sekeras-kerasnya dan apabila dilakukan, ia membawa kepada hukuman Hadd dan Qisas. Contohnya, umat Islam dilarang mencuri, merompak, berzina, memfitnah, meminum arak, murtad dan membunuh.
 Pendidikan agama merupakan asas yang paling penting bagi membentuk jatidiri muslim yang sebenar. Kefahaman agama yang sebenar dan keyakinan terhadap Allah akan menanamkan dalam diri insan sifat taqwa kepada Allah. Dan taqwalah yang akan membezakan antara setiap muslim.


4.2)            SIKAP PRIHATIN MASYARAKAT DAN KERAJAAN
Masyarakat Islam yang baik adalah masyarakat yang akan memastikan setiap anggota masyarakatnya tidak terlibat dengan gejala keruntuhan moral. Ini sesuai dengan sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud “Barangsiapa antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya, sekiranya ia tidak mampu cegahlah dengan lisannya dan sekiranya masih tidak mampu maka cegahlah di dalam hatinya ..dan itu adalah selemah-lemah iman ”. Hadith Muslim

Kementerian juga mengambil langkah-langkah menangani permasalahan tersebut seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi dan Kepenggunaan ditugaskan untuk membasmi masalah lambakan vcd tidak bertapis dan lucah.Maka ini adalah tanggungjawab kerajaan.


4.3)            TANGGUNGJAWAB IBU BAPA
Ibubapa perlulah memberikan perhatian yang sewajarnya kepada anak mereka. Walau sibuk dengan tugasan harian tanggungjawab mendidik anak tidak boleh diabaikan sesuai dengan apa yang telah digariskan oleh Islam. Peranan yang dimainkan oleh ibu bapa penting bagi menentukan keberkesanan sesebuah keluarga. Ini jelas sebagaimana sabda rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
“ Anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
Hadith Bukhari.
Mahatma Gandhi pernah berkata “ tiada sekolah setanding rumahtangga yang bahagia dan tiada guru yang setanding dengan ibu bapa yang tulus ikhlas dan berhati mulia”. Pendapat di atas jelas membuktikan betapa ibu bapa berperanan penting dalam membentuk sebarang jenis perhubungan tingkah laku dan sahsiah anak.
Saedah Ghani (1992) menjelaskan corak peraturan dan norma keluarga dalam sebuah keluarga boleh menjamin sifat harmoni dan hormat dikalangan ahli-ahli keluarga. Seharusnya, dalam sebuah keluarga yang berfungsi, norma dan peraturan yang ada perlulah jelas, positif , adil dan tekal. Sifat hormat dan perasaan kemesraan sukar wujud apabila ahli keluarga kurang jelas mengenai disiplin dan tingkah laku yang diterima. Perkara ini sering membawa kepada kepincangan keluarga, rumahtangga serta berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti penderaan seksual dan fizikal mahupun kenakalan remaja (Chopyak,D. & Abdullah, R.1986). 

4.4)            MENGAWAL MEDIA MASSA
Media massa merupakan satu mekanisme yang mempunyai pengaruh yang amat besar dan berkesan di dalam pembentukan keperibadian manusia. Ia merupakan agen sosialisasi dan memainkan peranan penting di dalam menanam dan menggalakkan amalan-amalan berakhlak di dalam masyarakat. Media massa mampu mencorakkan hati budi, mentaliti dan sahsiah umat khasnya yang beroperasi 24 jam. Media massa tersebut perlu bebas dari cengkaman faham sekularisme, budaya komersial yang melampau, faham kebendaan dan dorongan untuk hidup secara mewah dan berpoya-poya. Media massa hendaklah mempunyai asas falsafah dan dasar-dasar komunikasi yang selaras dengan nilai-nilai akhlak Islam. Para petugas media massa hendaklah meningkatkan rasa tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk memihak dan menegakkan nilai-nilai luhur seperti kebenaran, kejujuran dan sebagainya.

Pelbagai alat sebaran yang muncul hari ini seperti televisyen, suratkhabar, majalah boleh menjadi agen yang paling berpengaruh ke arah keruntuhan akhlak. Namun ia juga boleh menjadi agen dakwah yang paling berkesan. Oleh itu, pengawalan yang sewajarnya perlulah ke arah memastikan akhlak remaja dapat dikawal.




5.       KESIMPULAN
Syariah Islam adalah satu peraturan yang diturunkan oleh Tuhan kepada seluruh umat manusia sebagai panduan mereka dalam menempuh kehidupan. Keperluan terhadap satu panduan yang serba lengkap adalah satu kemestian kerana manusia adalah makhluk yang dicipta serba kekurangan.
Di antara unsur-unsur Syariah Islam serta ketinggian prinsipnya ialah keharmonian dengan kenyataan dan kesesuaiannya dengan kehidupan sepanjang zaman. Oleh itu, tidak munasabah pada akal dan syarak akan terjadinya pertentangan antara hukum-hukum Islam dengan maslahat manusia atau terjadinya pertembungan antara nas syariat dengan kenyataan hidup. Allah s.w.t. Maha Tinggi hikmahnya yang telah memansukhkan syariat-syariat agama langit yang terdahulu dan Allah datangkan Syariat yang baru yang menyesuaikan antara kepentingan individu dengan kepentingan jemaah untuk mewujudkan kebajikan dan kebahagiaan bagi insan secara keseluruhan serta menjamin kepimpinan umat dan keselamatan dunia sehingga hari kiaamat.
Umat yang hidup berdasarkan syariat akan mengimbangi segala tuntutan kehidupan duniawi dan rohani dengan tidak melampaui batas-batas kewajaran. Umat sebegini disifatkan oleh Allah sebagai 'ummatan wasatan' (umat yang berada di tengah) yang membangunkan dirinya dengan segala kekuatan yang telah disediakan oleh Allah, iaitu kekuatan jasmani, perekonomian, politik dan ketenteraan untuk membela diri dan menentang            penceroboh-penceroboh di samping kekuatan kemasyarakatan, ilmu pengetahuan dan teknologi.
      Gejala keruntuhan moral yang muncul hari ini boleh membawa kepada pelbagai implikasi akhlak dan masalah lain. Demikian juga, ia merupakan satu malapetaka besar yang menimpa masyarakat Islam yang mana ia telah melumpuhkan sama sekali remaja yang sangat diperlukan oleh Negara.Oleh itu mari kita bersama- sama membangunkan Islam dan berjuang.


                                                                                                                       
RUJUKAN
Al Quran Al Karim dan terjemahannya

Hadis Bukhari- Muhammad Bin Ismail

Hadis Muslim- Muslim Bin Hajjaj

Musnad Ahmad Bin Hambal

Mustadrak Hakim

Sunan Tirmizi Muhamad Bin Isa At Tirmizi

Sunan Abu Daud Sulaiman Bin Ash’as

Ar-Razi, Mukhtâr ash-Shihah, p. 294.

Imam al-Qurthubi, Tafsîr al-Qurthubi, juz XVI, p .163.

Al-Raysuniyy, Ahmad. (1995). Nazariyyat al-Maqasid 'ind al-Shatibiyy. (Ed. 4). Riyad :              al-Dar al-'Alamiyyah li al-Kitab al-'Arabiyy.

Vani Appalasami (2001), op. cit., p. 10.

Ibid, p. 133.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz2MFaIES90
© Utusan Melayu (M) Bhd

Saedah Ghani (1992). Gejala Sosial dalam institusi kekeluargaan . Bengkel kaunseling ke 13. UKM.

Chopyak,D. & Abdullah, R. (1986). The psychological problems of  battered women and their families. Implications for the helping profession. Jurnal  PERKAMA 2,  59-79.

Qutb, Sayyid. T.thn. Ma 'alimfi al-Tariq. Kuwait: t.pt.



2 comments:

  1. Terima kasih bang, banyak membantu saya :)

    ReplyDelete
  2. terima kasih tuan kerana berkongsi ilmu dengan rujukan yang muktabar

    ReplyDelete